Jika tidak memperkenalkan diri, ramai yang tidak tahu bahawa lelaki sawo matang berbadan kurus kering itu saya. Manakan tidak, sejak kecil badan saya gempal dan berperut buncit. Ada yang menangis melihat saya. Tidak sangka melihat keadaan saya selepas berpuluh-puluh tahun tidak bertemu. Ada juga yang sudah mengenali saya. Itu pun melalui akhbar atau televisyen. Popular jugalah!
Saya tidak risau, orang tidak mengenali saya. Apa yang paling membimbangkan, saya tidak dapat mengenali mereka. Ada yang menganggap saya tidak lagi mengenali mereka. Baru-baru ini, saya pulang ke kampung untuk kenduri. Ada tetamu bertanya – kenal tak, siapa ini. Saya dapat mengenali mereka, walaupun tidak bertemu berpuluh-puluh tahun lalu.
Saya gembira dan bersyukur kerana daya ingatan masih kuat. Begitu pun, ada juga yang saya lupa namanya. Bukan apa, kebelakangan ini, saya macam ingat-ingat lupa terhadap sesuatu perkara.
Contohnya, saya teringat melakukan sesuatu perkara, tetapi ada kalanya terlupa perkara yang hendak dilakukan itu dalam sekelip mata saja. Keadaan ini memang membimbangkan. Saya pernah membaca pesakit scleromyxedema yang mengalami masalah sama. Ia dipanggil hilang ingatan sementara.
Tidak banyak artikel atau maklumat mengenai perkara ini. Ia mungkin kes terpencil. Begitu pun, ada ahli dalam Scleromyxedema Group yang berpangkalan di Amerika Syarikat memberitahu ayahnya, seorang pesakit scleromyxederma lupa banyak perkara. Ayahnya tidak dapat mengingati masa lalu.
Saya berdoa tidak jadi begitu. Untuk menyedapkan hati, saya memberitahu diri sendiri keadaan ini mungkin kerana usia yang semakin meningkat. Saya diajar supaya banyak berzikir dan ingat kepada Allah supaya tidak mudah lupa. Alhamdulillah, daya ingatan saya masih kuat lagi.
Insya-Allah, Isnin ini saya masuk ke wad dermatologi Hospital Kuala Lumpur untuk meneruskan rawatan yang tidak dapat dilakukan awal bulan ini. Doakan supaya rawatan kali ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
No comments:
Post a Comment